TUGASAN SVW 502:
PEMBANGUNAN INSANIAH
NURUL SUHADA ISMAIL
PSM 0043/13
PELAJAR SARJANA
SAINS KEMASYARAKATAN
(PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)
UNIVERSITI SAINS
MALAYSIA
TAJUK:
PEMBANGUNAN SIFAT INSAN DALAM MELESTARIKAN NILAI ILMU
PENGENALAN
Mendepani cabaran globalisasi dan modenisasi menuntut setiap individu
mempunyai ilmu yang luas. Lantas ia diertikan dengan memiliki tahap pendidikan
yang tertinggi. Namun, adakah nilai ilmu hanya bersandarkan tahap pendidikan
seseorang? Adakah tanggungjawab terhadap ilmu tamat setelah tamatnya tempoh
pembelajaran? Dan sejauhmanakah nilai ilmu boleh terhakis kesan sifat seseorang
insan tersebut? Menurut Sidek Baba (2006), akidah itu membentuk akhlak Muslim.
Hebatnya ilmu itu kerana menjadi sumber tenaga yang menggerakkan hati, arah
pandangan, pendengaran, bahasa pertuturan dan tingkahlaku seseorang (Hafiz
Firdaus Abdullah, 2009). Jadi ini menggambarkan nilai ilmu yang melahirkan
akhlak insan. Dalam konteks ini nilai ilmu merujuk kepada ketinggian ilmu yang
diletakkan dalam Islam. Hal ini kerana natijah daripada ilmu menghasilkan
peribadi dan akhlak yang unggul dalam diri insan.
Oleh itu, artikel ini pertamanya ingin mengutarakan sifat insan yang boleh
menjejaskan nilai ilmu. Kemudiannya merumuskan sifat yang harus dimiliki oleh
penuntut ilmu dalam melestarikan nilai ilmu tersebut. Hal ini penting untuk
diperhalusi kerana ilmu merupakan acuan yang membentuk akhlak diri.
SIFAT INSAN YANG PERLU
DIELAKKAN DALAM MELESTARIKAN NILAI ILMU
Kedudukan ilmu dalam Islam begitu tinggi kerana ilmu merupakan kunci untuk
memahami agama secara keseluruhannya. Sesuai dengan kedudukan ilmu
menggambarkan peri pentingnya untuk Muslim beradab dan berakhlak terhadap ilmu.
Sebagaimana hadis Rasulullah SAW:
“Barangsiapa
bertambah ilmunya dan tidak bertambah petunjuk yang diperolehnya, maka ia pun
semakin jauh dari Allah SWT.”
Makanya seorang yang berilmu mestilah berakhlak dan beramal dengan ilmu
yang dimilikinya. Menurut Imam Ghazali (2003), orang yang berilmu
berkemungkinan mengalami dua situasi dengan ilmu yang didapatinya iaitu beroleh
kebahagiaan yang abadi atau kebinasaan. Oleh itu, dalam memastikan kelestarian nilai
ilmu seorang Muslim perlu berusaha menghindarkan diri daripada sifat yang boleh
menjejaskan nilai ilmu.
Mengikut Hamka (2007), sifat manusia yang takbur dan dengki boleh
menyebabkan pekerjaan yang dilakukan menjadi kucar-kacir. Mudahnya, sifat
sebegini boleh mengundang kemudaratan kepada diri sendiri berbanding mendapat
kebaikan. Segala kerja yang dilakukan menjadi terbantut dan rosak kerana sifat
ini. Hafiz Firdaus Abdullah (2009) turut
bersependapat dengan Hamka. Sifat dengki, ujub, sombong, dan angkuh dalam diri
merupakan kombinasi yang membentuk sifat tinggi diri. Menurut Hafiz Firdaus Abdullah (2009) sifat tinggi diri
merebak dalam diri kerana persekitaran masyarakat yang diibaratkan seperti “photocopy machine”. Kesannya, individu
mudah berasa tinggi diri apabila mendapati dirinya lebih berilmu daripada orang
lain. Begitu juga yang ditekankan oleh Imam Ghazali bahawa ilmu tidak mendapat
tempat dan melekat di hati orang yang sombong (Zaid Husien Al Hamid, 2003).
Berikutnya sifat yang harus dielakkan ialah kedekut dengan ilmu. Ilmu itu
diibaratkan sebagai harta yang menjaga diri. Malah menjadi satu kerugian bagi
individu yang enggan menyebarkan ilmu. Dalam konteks ini kedekut bukan sahaja
terhadap perkara yang bersifat material. Hal ini jelas terpamer dalam hadis
Nabi SAW yang memberi ancaman kepada orang yang kedekut ilmu:
“Sesiapa yang
menyembunyikan satu ilmu maka Allah akan mengikatnya dengan tali dari api
neraka pada hari kiamat kelak.”(al-Thabarani, no.
hadis:121)
Perlakuan untuk tidak menyampaikan dan menyebarkan ilmu ini digambarkan
oleh Hafiz Firdaus Abdullah (2009) menerusi pelbagai
cara seperti mengenakan bayaran yang tinggi untuk menyampaikan ilmu. Bagi Hamka
(2007:299) walaupun ilmu yang sedikit, perlu diusahakan untuk disebarkan kerana
kepentingan ilmu tersebut untuk masyarakat. Kewajipan menyampaikan ilmu seperti
firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 187.
“Dan (ingatlah!)
ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah
diberikan kitab, iaitu: Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi kitab
itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya.” (ali-Imran, 3:187)
Seterusnya, Muslim perlu mengelakkan sifat tidak mengamalkan ilmu. Hafiz Firdaus Abdullah (2009) menjelaskan terdapat
tiga kategori orang yang berilmu. Pertamanya memiliki ilmu tetapi tidak
mengamalkannya. Keduanya memiliki ilmu dan mengamalkannya. Ketiga ialah orang yang
memiliki ilmu, mengamalkannya dan menegakkan kebenaran tersebut. Sebagaimana dalam
firman Allah SWT yang menerangkan kemurkaan Allah SWT terhadap Muslim yang
bersifat sedemikian:
“Wahai orang-orang
yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat
besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak
melakukannya.” (al-Saff, 61:2-3)
Akhir sekali, sifat yang harus dibuang daripada diri bagi melestarikan
nilai ilmu ialah mengelakkan perselisihan dan tidak menerima pendapat orang
lain (Imam Ghazali, 2003 & Hafiz Firdaus Abdullah, 2009).
Sifat tidak menerima pendapat orang lain membuka jalan kepada perselisihan. Hal
ini kerana wujudnya sikap tidak bersedia menerima perbezaan pandangan dan
sebaliknya berusaha mempertahankan pendapat sendiri. Kesannya bukan sahaja
merosakkan perhubungan sesama manusia sebaliknya ilmu tersebut tidak dapat
berkembang. Meraikan perbezaan pendapat boleh mengurangkan ketegangan hubungan manusia
dan menyuburkan budaya ilmu.
PEMBANGUNAN SIFAT INSAN DALAM
MELESTARIKAN NILAI ILMU
Bagi memastikan kelestarian nilai ilmu, seorang individu perlulah
membangunkan sifat-sifat baik untuk mendidik diri berakhlak terhadap ilmu.
Perbincangan pembangunan sifat insan ini hanya berfokus kepada aspek dalaman
iaitu elemen kerohanian. Sifat insan yang perlu dibangunkan ialah menjaga
hubungan dengan Allah, membersihkan hati dan mengamalkan akhlak yang baik
dengan guru.
Sifat asas yang perlu dibangunkan ialah dengan menjaga hubungan dengan
Allah SWT. Hubungan menegak yakni hubungan dengan Allah SWT menjadi tunjang
kekuatan akidah Muslim. Segala perbuatan yang dihubungkan dengan Allah SWT
memberi natijah daripada permulaan hingga ke akhirnya. Sidek Baba (2006:10),
menekankan penuntut ilmu harus patuh perintah dan meninggalkan larangan Allah
SWT kerana kedua-duanya merupakan asas membentuk insan rabbani.
Keduanya, membangunkan hati yang bersih. Ilmu itu sendiri bersifat suci dan
murni. Dapat difahami menerusi kata-kata Ibn Mas’ud:
“Bukanlah ilmu itu
kerana banyaknya meriwayatkannya, tetapi ilmu itu cahaya yang dimasukkan ke
dalam hati.” (Dipetik daripada Imam Ghazali ,2003)
Menurut Hamka (2007) dan Imam Ghazali (2003) perkara yang harus dilakukan terlebih
dahulu dan dijaga sungguh-sungguh oleh penuntut ilmu iaitu hati yang bersih. Bagi
menjaga dan membersihkan hati sifat-sifat takbur, riak, bangga diri dan tinggi
diri perlu disingkirkan daripada hati. Said Abdul Azhim (2006), mengukuhkan
lagi hati yang bersih mesti dijauhkan daripada racun-racun hati seperti
kekufuran, dosa besar, dan kemaksiatan yang membunuh hati. Oleh itu, dengan
meletakkan Allah di tempat tertinggi yang memiliki keluasan ilmu dan mengenali
kedudukan diri membuatkan Muslim berasa rendah diri dengan ilmu yang
dimilikinya (Hamka, 2007).
Sifat yang akhir yang perlu dibangunkan oleh penuntut ilmu ialah mengamalkan
akhlak yang baik terhadap guru. Akhlak merupakan gambaran hati individu yang
terbina daripada hati yang bersih. Menurut Hamka (2007) akhlak utama terhadap
guru meliputi menghormati guru, menyalami guru ketika bertemu dan menerima
perbezaan pendapat guru. Hal ini kerana jika perkara sebaliknya berlaku ini
menyebabkan jatuhnya nilai ilmu. Malahan selaku penuntut ilmu Hamka (2007)
menegaskan perlu untuk mengenang jasa guru dengan merendahkan diri apabila
bertemu guru walaupun pada ketika itu telah berjaya dan memiliki pangkat dan
jawatan yang besar. Keberkatan ilmu bergantung juga kepada konsentrasi penuntut
ilmu terhadap guru semasa belajar dan akhlak sesama rakan (Hamka, 2007).
PENUTUP
Kesimpulannya, berdasarkan perbincangan mempamerkan nilai ilmu yang harus
dipelihara secara terus. Memandangkan Islam meletakkan ilmu di peringkat
tertinggi, maka wajar untuk individu Muslim menjaganya menerusi pembangunan
sifat insan. Hasilnya ini membentuk akhlak Muslim yang unggul dan seterusnya menjamin
kelestarian nilai ilmu.
Rujukan
Al-Ghazali (terj.) (2003). Ringkasan
Ihya’ Ulumuddin. Kuala Lumpur: Darul Nu`man.
Hafiz
Firdaus Abdullah. (2009). Hukum dan Adab
Berjemaah Dalam Islam. Johor: Perniagaan Jahabersa.
Hamka.
(2007). Lembaga Hidup: Perhiasan Insan
Cemerlang. Shah Alam: Pustaka Dini.
Said Abdul
Azhim. (2006). Rahsia Kesucian Hati: Menurut Al-Qur`an, Hadits,
dan Pendapat Ulama. Jakarta: Qultum Media.
Sidek Baba.
(2006). Pendidikan Rabbani: Mengenal Allah
Melalui Ilmu Dunia. Shah Alam: Karya Bestari Sdn. Bhd.