Wednesday, 4 December 2013

TUGASAN SIW505: EPISTEMOLOGI DAN TASAWWUR ISLAM



NURUL SUHADA BINTI ISMAIL
PSM-0043/13
PELAJAR SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN
(PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)

TAJUK: USRAH WASILAH TARBIYAH

1.0 Pengenalan
Menuntut ilmu merupakan asas yang penting dalam membentuk tarbiyah atau pendidikan dalam diri seorang muslim. Ilmu dapat menyuluh jalan kehidupan manusia ke arah kebaikan atau sebaliknya. Namun usaha bagaimana yang boleh dilakukan untuk menuntut ilmu selain daripada ilmu di institusi formal seperti sekolah, masjid, atau kelas pengajian. Salah satu cara yang berkesan dalam menyebarkan dan mendalami ilmu adalah dengan usrah. Melalui teras utama usrah iaitu nasihat dan peringatan  dapat memastikan individu menjadi lebih baik dari hari ke hari. Malah elemen dakwah turut ditekankan dalam usrah dengan saling menyebarkan kebaikan. Hal ini seperti yang diperintahkan Allah S.W.T  untuk menyeru  manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. (H.Ismet Junus, 2013).  Maka, usrah atau digelar bulatan gembira menjadi medan mendapat tarbiyah dan pada masa yang sama menyebarkan dakwah. Oleh itu, artikel ini terbahagi kepada beberapa bahagian untuk menjelaskan epistemologi, sejarah dan perkembangan usrah. Selain itu, artikel ini juga merungkai usrah sebagai cara mendapatkan tarbiyah atau didikan dan seterusnya membentuk peribadi muslim.



2.0 Perbincangan
Epistemologi perkataan usrah berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud keluarga. (NorSaadah Din et. al, 2012). Dari sudut istilah usrah bererti kumpulan atau individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam yang saling memberi nasihat untuk memahami dan menghayati Islam. Usrah juga merupakan satu wasilah talaqqi (berguru) yang berkonsepkan ijlis bina nu`min sa`ah (duduklah bersama kami, kita beriman sejenak). (Wan Ahmad Sanadi, 2012). Dalam bahasa mudah usrah adalah satu metode yang mengumpulkan beberapa orang secara santai dan tidak formal yang mana tiga orang sehingga sepuluh orng yang dipimpin oleh seorang naqib atau ketua. (NorSaaadah Din et. al, 2012).  Jadi, usrah merupakan perkumpulan beberapa orang bagi mempelajari dan berkongsi ilmu serta mengamalkannya dalam kehidupan sebagai seorang muslim.

Tarbiyah dibina menerusi aktiviti yang dijalankan bersama ahli-ahli usrah seperti mentaddabur ayat Al-Qur`an, perbincangan isu semasa, riadah, membedah buku dan sebagainya. Hasil daripada aktiviti-aktiviti tersebut membawa ibrah dan pengajaran yang mana boleh mendidik jiwa setiap ahli usrah. Misalnya aktiviti rehlah seperti berkelah memberi faedah kepada ahli usrah untuk melihat alam ciptaan Allah S.W.T dan naqibah berperanan mengajak ahi-ahli berfikir dan mengaitkan dengan kebesaran Allah S.W.T. Aktiviti usrah yang berbentuk santai namun sarat dengan ilmu dan didikan  mampu menyuntik jiwa ahli-ahli usrah kepada cinta Allah S.W.T yang Maha Agung. Kesannya dapat melahirkan individu muslim yang memiliki 10 Muwasofat Tarbiyyah seperti yang digariskan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. 






Selain itu, elemen berkenalan atau ta'aruf dalam usrah turut menyumbang kepada pembentukan individu muslim yang unggul. Hassan al-Banna (2003:543) menyatakan elemen berkenalan dan saling mengenali sahabat-sahabat usrah merupakan salah satu rukun usrah. (Dipetik daripada Mohd Ismail Mustari & Salini Mohd Salleh, 2010:8). Selain memperoleh ilmu dan didikan, ahli-ahli usrah juga dapat membina ukhwah yang erat. Dengan perkenalan dan memahami ahli-ahli usrah, proses penyampaian dan perkongsian dalam usrah lebih mudah dan cepat diterima. Hal ini ditunjukkan menerusi keutuhan hubungan persaudaraan sesama muslim yang menjadi faktor penting dalam menggambarkan kekuatan umat Islam umumnya.

Menelusuri sejarah perkembangan usrah ini telah dimulakan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W sendiri yang merupakan murabbi agung kiriman Allah S.W.T. Pada peringkat awal dakwah Islam dilaksanakan Rasulullah S.A.W secara rahsia. Perjumpaan secara berkala diadakan di rumah al-Arqam yang merupakan pusat perjumpaan untuk mengajar dan memantapkan pemahaman para sahabat mengenai Islam. Pada ketika ini, Rasulullah mengutamakan untuk mengajar tentang keimanan dan aqidah menerusi ayat-ayat Al-Qur`an yang diajarkan terus oleh Baginda Nabi untuk dipraktikan dalam kehidupan seharian sahabat-sahabat. Kaedah usrah yang disulami interaksi intim dan kasih sayang antara Rasulullah dan para sahabat menjadikan ukhwah antara mereka menjadi kukuh.  (Alwani Ghazali, 2012).

Konsep dakwah turut ditekan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W. dalam menyampaikan ilmu. Melalui dakwah Islam mampu berkembang sehingga umat manusia zaman ini boleh menikmati nikmat Islam. Rasulullah S.A.W menerapkan rasa bertanggungjawab, sanggup menerima risiko dalam perjuangan dan sikap tidak mudah berputus asa dalam usaha berdakwah. Selain itu, proses tarbiyah kepada sahabat-sahabat berjaya dilaksanakan menerusi qudwah hasanah untuk panduan seluruh umat Islam. (NorSaadah Din et. al, 2012). Hasilnya muncul sahabat-sahabat yang hebat iman, amal, akhlak dan ilmunya seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Abdul Rahman bin Auf, Saidina Umar Al-Khattab dan ramai lagi.

Oleh yang demikian, usrah boleh menjadi salah satu metode dakwah bagi menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan dakwah Islam. Selain daripada menyebarkan dakwah pada masa yang sama ahli usrah dapat memupuk kefahaman tentang Islam dengan lebih baik. Hal ini kerana, perkongsian ilmu dalam usrah dapat menyuburkan keimanan dan ketaqwaaan kepada Allah S.W.T dan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W.


3.0 Kesimpulan
Tarbiyah adalah elemen yang perlu disemai dalam diri untuk menjadi mukmin yang berjaya. Pembentukan diri muslim yang sejati mampu dibina menerusi kaedah usrah. Usrah menjadi satu satu cara yang penting untuk memantapkan keperibadian individu muslim dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama umat Islam. Hanya dengan berbekalkan ilmu, manusia mampu berfikir dan beramal dengannya yang mana pada akhirnya bermatlamat untuk beroleh keredhaan Allah S.W.T. dan syurga Ilahi.




 Bibliografi 
Alwani Ghazali. (2012, Oktober). Bulatan Gembira Rasulullah S.A.W. Dakwah Itu Mudah Jom! (Edisi 02),62-64.

H. Ismet Junus. (2013). Manusia Menurut Hidayah Al-Qur’an. Medan: Medan Area University Press dan Pusat Islam UMA.

Mohd Ismail Mustari & Salini Mohd Salleh, (2010). Persepsi Pelajar Terhadap Program Usrah Di SMKA(P) Al-Mashoor. Diakses daripada http://eprints.utm.my/10478/1/.

NorSaadah Din, Yusni Mohamad Yusak, dan Muhammad Fadzil Abd Manap. (2012). Usrah Wadah Pendidikan: Pengaplikasiannya Melahirkan Insan Terpelajar dan Terdidik. Diakses daripada http://www.ipislam.edu.my/uploaded/PKPI2012.

Wan Ahmad Sanadi. (2012, Oktober). Usrah Tiang Perubahan. Dakwah Itu Mudah Jom! (Edisi 02), 14-16.
          

No comments:

Post a Comment