Wednesday, 19 November 2014

                                         RUMAH KECIL ITU

Rumah kecil itu
Ku pandang lagi
Mengusik tangkai hati
Memaksa minda membongkar kembali
Perit dan sukar ku rasai

Di situ lah
Rumah kecil itu
Tempat berteduh
Tempat membesar
Mengenal erti hidup bertuhan
Mengenal erti sayang dan perih ibu ayah
Mengenal erti kasih saudara kandung
Mengenal ragam berkawan
Segalanya bermula di situ
Di rumah kecil itu

Hanya seketika
Kini kenangan sahaja
Suka, duka, tangis dan tawa
Menjadi memori terindah
Kerna segalanya di situ
Di rumah kecil itu


**Bila rindu bertamu di hati: Nukilan buat bonda, abah, dan adik-adik tersayang.

~Gambar sekadar hiasan~

Saturday, 15 November 2014

TUGASAN SVW 502: PEMBANGUNAN INSANIAH

NURUL SUHADA ISMAIL
PSM 0043/13
PELAJAR SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN
 (PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

TAJUK: PEMBANGUNAN SIFAT INSAN DALAM MELESTARIKAN NILAI ILMU

PENGENALAN
                                                              
Mendepani cabaran globalisasi dan modenisasi menuntut setiap individu mempunyai ilmu yang luas. Lantas ia diertikan dengan memiliki tahap pendidikan yang tertinggi. Namun, adakah nilai ilmu hanya bersandarkan tahap pendidikan seseorang? Adakah tanggungjawab terhadap ilmu tamat setelah tamatnya tempoh pembelajaran? Dan sejauhmanakah nilai ilmu boleh terhakis kesan sifat seseorang insan tersebut? Menurut Sidek Baba (2006), akidah itu membentuk akhlak Muslim. Hebatnya ilmu itu kerana menjadi sumber tenaga yang menggerakkan hati, arah pandangan, pendengaran, bahasa pertuturan dan tingkahlaku seseorang (Hafiz Firdaus Abdullah, 2009). Jadi ini menggambarkan nilai ilmu yang melahirkan akhlak insan. Dalam konteks ini nilai ilmu merujuk kepada ketinggian ilmu yang diletakkan dalam Islam. Hal ini kerana natijah daripada ilmu menghasilkan peribadi dan akhlak yang unggul dalam diri insan.

Oleh itu, artikel ini pertamanya ingin mengutarakan sifat insan yang boleh menjejaskan nilai ilmu. Kemudiannya merumuskan sifat yang harus dimiliki oleh penuntut ilmu dalam melestarikan nilai ilmu tersebut. Hal ini penting untuk diperhalusi kerana ilmu merupakan acuan yang membentuk akhlak diri.

SIFAT INSAN YANG PERLU DIELAKKAN DALAM MELESTARIKAN NILAI ILMU

Kedudukan ilmu dalam Islam begitu tinggi kerana ilmu merupakan kunci untuk memahami agama secara keseluruhannya. Sesuai dengan kedudukan ilmu menggambarkan peri pentingnya untuk Muslim beradab dan berakhlak terhadap ilmu. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW:

“Barangsiapa bertambah ilmunya dan tidak bertambah petunjuk yang diperolehnya, maka ia pun semakin jauh dari Allah SWT.”


Makanya seorang yang berilmu mestilah berakhlak dan beramal dengan ilmu yang dimilikinya. Menurut Imam Ghazali (2003), orang yang berilmu berkemungkinan mengalami dua situasi dengan ilmu yang didapatinya iaitu beroleh kebahagiaan yang abadi atau kebinasaan. Oleh itu, dalam memastikan kelestarian nilai ilmu seorang Muslim perlu berusaha menghindarkan diri daripada sifat yang boleh menjejaskan nilai ilmu.

Mengikut Hamka (2007), sifat manusia yang takbur dan dengki boleh menyebabkan pekerjaan yang dilakukan menjadi kucar-kacir. Mudahnya, sifat sebegini boleh mengundang kemudaratan kepada diri sendiri berbanding mendapat kebaikan. Segala kerja yang dilakukan menjadi terbantut dan rosak kerana sifat ini. Hafiz Firdaus Abdullah (2009) turut bersependapat dengan Hamka. Sifat dengki, ujub, sombong, dan angkuh dalam diri merupakan kombinasi yang membentuk sifat tinggi diri. Menurut Hafiz Firdaus Abdullah (2009) sifat tinggi diri merebak dalam diri kerana persekitaran masyarakat yang diibaratkan seperti “photocopy machine”. Kesannya, individu mudah berasa tinggi diri apabila mendapati dirinya lebih berilmu daripada orang lain. Begitu juga yang ditekankan oleh Imam Ghazali bahawa ilmu tidak mendapat tempat dan melekat di hati orang yang sombong (Zaid Husien Al Hamid, 2003).

Berikutnya sifat yang harus dielakkan ialah kedekut dengan ilmu. Ilmu itu diibaratkan sebagai harta yang menjaga diri. Malah menjadi satu kerugian bagi individu yang enggan menyebarkan ilmu. Dalam konteks ini kedekut bukan sahaja terhadap perkara yang bersifat material. Hal ini jelas terpamer dalam hadis Nabi SAW yang memberi ancaman kepada orang yang kedekut ilmu:

“Sesiapa yang menyembunyikan satu ilmu maka Allah akan mengikatnya dengan tali dari api neraka pada hari kiamat kelak.”(al-Thabarani, no. hadis:121)

Perlakuan untuk tidak menyampaikan dan menyebarkan ilmu ini digambarkan oleh Hafiz Firdaus Abdullah (2009) menerusi pelbagai cara seperti mengenakan bayaran yang tinggi untuk menyampaikan ilmu. Bagi Hamka (2007:299) walaupun ilmu yang sedikit, perlu diusahakan untuk disebarkan kerana kepentingan ilmu tersebut untuk masyarakat. Kewajipan menyampaikan ilmu seperti firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 187.

“Dan (ingatlah!) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan kitab, iaitu: Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya.” (ali-Imran, 3:187)

Seterusnya, Muslim perlu mengelakkan sifat tidak mengamalkan ilmu. Hafiz Firdaus Abdullah (2009) menjelaskan terdapat tiga kategori orang yang berilmu. Pertamanya memiliki ilmu tetapi tidak mengamalkannya. Keduanya memiliki ilmu dan mengamalkannya. Ketiga ialah orang yang memiliki ilmu, mengamalkannya dan menegakkan kebenaran tersebut. Sebagaimana dalam firman Allah SWT yang menerangkan kemurkaan Allah SWT terhadap Muslim yang bersifat sedemikian:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (al-Saff, 61:2-3)


Akhir sekali, sifat yang harus dibuang daripada diri bagi melestarikan nilai ilmu ialah mengelakkan perselisihan dan tidak menerima pendapat orang lain (Imam Ghazali, 2003 & Hafiz Firdaus Abdullah, 2009). Sifat tidak menerima pendapat orang lain membuka jalan kepada perselisihan. Hal ini kerana wujudnya sikap tidak bersedia menerima perbezaan pandangan dan sebaliknya berusaha mempertahankan pendapat sendiri. Kesannya bukan sahaja merosakkan perhubungan sesama manusia sebaliknya ilmu tersebut tidak dapat berkembang. Meraikan perbezaan pendapat boleh mengurangkan ketegangan hubungan manusia dan menyuburkan budaya ilmu.

PEMBANGUNAN SIFAT INSAN DALAM MELESTARIKAN NILAI ILMU

Bagi memastikan kelestarian nilai ilmu, seorang individu perlulah membangunkan sifat-sifat baik untuk mendidik diri berakhlak terhadap ilmu. Perbincangan pembangunan sifat insan ini hanya berfokus kepada aspek dalaman iaitu elemen kerohanian. Sifat insan yang perlu dibangunkan ialah menjaga hubungan dengan Allah, membersihkan hati dan mengamalkan akhlak yang baik dengan guru.

Sifat asas yang perlu dibangunkan ialah dengan menjaga hubungan dengan Allah SWT. Hubungan menegak yakni hubungan dengan Allah SWT menjadi tunjang kekuatan akidah Muslim. Segala perbuatan yang dihubungkan dengan Allah SWT memberi natijah daripada permulaan hingga ke akhirnya. Sidek Baba (2006:10), menekankan penuntut ilmu harus patuh perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT kerana kedua-duanya merupakan asas membentuk insan rabbani.

Keduanya, membangunkan hati yang bersih. Ilmu itu sendiri bersifat suci dan murni. Dapat difahami menerusi kata-kata Ibn Mas’ud:

“Bukanlah ilmu itu kerana banyaknya meriwayatkannya, tetapi ilmu itu cahaya yang dimasukkan ke dalam hati.” (Dipetik daripada Imam Ghazali ,2003)

Menurut Hamka (2007) dan Imam Ghazali (2003) perkara yang harus dilakukan terlebih dahulu dan dijaga sungguh-sungguh oleh penuntut ilmu iaitu hati yang bersih. Bagi menjaga dan membersihkan hati sifat-sifat takbur, riak, bangga diri dan tinggi diri perlu disingkirkan daripada hati. Said Abdul Azhim (2006), mengukuhkan lagi hati yang bersih mesti dijauhkan daripada racun-racun hati seperti kekufuran, dosa besar, dan kemaksiatan yang membunuh hati. Oleh itu, dengan meletakkan Allah di tempat tertinggi yang memiliki keluasan ilmu dan mengenali kedudukan diri membuatkan Muslim berasa rendah diri dengan ilmu yang dimilikinya (Hamka, 2007).

Sifat yang akhir yang perlu dibangunkan oleh penuntut ilmu ialah mengamalkan akhlak yang baik terhadap guru. Akhlak merupakan gambaran hati individu yang terbina daripada hati yang bersih. Menurut Hamka (2007) akhlak utama terhadap guru meliputi menghormati guru, menyalami guru ketika bertemu dan menerima perbezaan pendapat guru. Hal ini kerana jika perkara sebaliknya berlaku ini menyebabkan jatuhnya nilai ilmu. Malahan selaku penuntut ilmu Hamka (2007) menegaskan perlu untuk mengenang jasa guru dengan merendahkan diri apabila bertemu guru walaupun pada ketika itu telah berjaya dan memiliki pangkat dan jawatan yang besar. Keberkatan ilmu bergantung juga kepada konsentrasi penuntut ilmu terhadap guru semasa belajar dan akhlak sesama rakan (Hamka, 2007).

PENUTUP

Kesimpulannya, berdasarkan perbincangan mempamerkan nilai ilmu yang harus dipelihara secara terus. Memandangkan Islam meletakkan ilmu di peringkat tertinggi, maka wajar untuk individu Muslim menjaganya menerusi pembangunan sifat insan. Hasilnya ini membentuk akhlak Muslim yang unggul dan seterusnya menjamin kelestarian nilai ilmu.




Rujukan

Al-Ghazali (terj.) (2003). Ringkasan Ihya’ Ulumuddin. Kuala Lumpur: Darul Nu`man.

Hafiz Firdaus Abdullah. (2009). Hukum dan Adab Berjemaah Dalam Islam. Johor: Perniagaan Jahabersa.

Hamka. (2007). Lembaga Hidup: Perhiasan Insan Cemerlang. Shah Alam: Pustaka Dini.

Said Abdul Azhim. (2006). Rahsia Kesucian Hati: Menurut Al-Qur`an, Hadits, dan Pendapat Ulama. Jakarta: Qultum Media.

Sidek Baba. (2006). Pendidikan Rabbani: Mengenal Allah Melalui Ilmu Dunia. Shah Alam: Karya Bestari Sdn. Bhd.












Friday, 7 November 2014

        ALASAN DAN KEPUTUSAN

Intipati program Magnet Diri oleh Amin Idris. 



Berhenti untuk memberi alasan sebaliknya terus buat keputusan. Keputusan itu bermakna kita lakukan tindakan untuk menyelesaikan urusan atau sesuatu pekerjaan. Alasan demi alasan membantutkan usaha dan langkah untuk berjaya. Buang sikap bertangguh dan beralasan. Gantikan dengan tindakan dan fokus dengan perkara yang kita lakukan. Dimulai dengan niat kerana Allah moga-moga segala pekerjaan membuahkan hasil yang baik. 

1) Buang alasan dan sikap bertangguh-tangguh
2) Ganti dengan niat kerana Allah + tindakan + fokus = Hasil yang baik 



                                                  Sumber:google imej

Sunday, 28 September 2014










 "Ilmu tidak diperoleh dengan jasad yang santai (bermalas-malasan)" 
                                                             (Riwayat Muslim)