NURUL SUHADA
BINTI ISMAIL
PSM-0043/13
PELAJAR SARJANA
SAINS KEMASYARAKATAN
(PENGURUSAN
PEMBANGUNAN ISLAM)
TAJUK: USRAH WASILAH TARBIYAH
1.0 Pengenalan
Menuntut
ilmu merupakan asas yang penting dalam membentuk tarbiyah atau pendidikan dalam
diri seorang muslim. Ilmu dapat menyuluh jalan kehidupan manusia ke arah
kebaikan atau sebaliknya. Namun usaha bagaimana yang boleh dilakukan untuk
menuntut ilmu selain daripada ilmu di institusi formal seperti sekolah, masjid,
atau kelas pengajian. Salah satu cara yang berkesan dalam menyebarkan dan
mendalami ilmu adalah dengan usrah. Melalui teras utama usrah iaitu nasihat dan
peringatan dapat memastikan individu menjadi lebih baik dari hari ke
hari. Malah elemen dakwah turut ditekankan dalam usrah dengan saling
menyebarkan kebaikan. Hal ini seperti yang diperintahkan Allah S.W.T untuk menyeru manusia ke arah
kebaikan dan mencegah kemungkaran. (H.Ismet Junus, 2013). Maka, usrah atau digelar bulatan gembira menjadi medan mendapat tarbiyah dan pada masa yang sama menyebarkan dakwah. Oleh itu, artikel ini terbahagi kepada beberapa bahagian untuk menjelaskan
epistemologi, sejarah dan perkembangan usrah. Selain itu, artikel ini juga
merungkai usrah sebagai cara mendapatkan tarbiyah atau didikan dan seterusnya membentuk peribadi muslim.
2.0
Perbincangan
Epistemologi
perkataan usrah berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud keluarga.
(NorSaadah Din et. al, 2012). Dari sudut istilah usrah bererti kumpulan atau
individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam yang saling memberi
nasihat untuk memahami dan menghayati Islam. Usrah juga merupakan satu wasilah
talaqqi (berguru) yang berkonsepkan ijlis bina nu`min sa`ah (duduklah
bersama kami, kita beriman sejenak). (Wan Ahmad Sanadi, 2012). Dalam bahasa
mudah usrah adalah satu metode yang mengumpulkan beberapa orang secara santai
dan tidak formal yang mana tiga orang sehingga sepuluh orng yang dipimpin oleh
seorang naqib atau ketua. (NorSaaadah Din et. al, 2012). Jadi, usrah
merupakan perkumpulan beberapa orang bagi mempelajari dan berkongsi ilmu serta
mengamalkannya dalam kehidupan sebagai seorang muslim.
Tarbiyah
dibina menerusi aktiviti yang dijalankan bersama ahli-ahli usrah seperti
mentaddabur ayat Al-Qur`an, perbincangan isu semasa, riadah, membedah buku dan
sebagainya. Hasil daripada aktiviti-aktiviti tersebut membawa ibrah dan
pengajaran yang mana boleh mendidik jiwa setiap ahli usrah. Misalnya aktiviti
rehlah seperti berkelah memberi faedah kepada ahli usrah untuk melihat alam
ciptaan Allah S.W.T dan naqibah berperanan mengajak ahi-ahli berfikir dan
mengaitkan dengan kebesaran Allah S.W.T. Aktiviti usrah yang berbentuk santai
namun sarat dengan ilmu dan didikan mampu menyuntik jiwa ahli-ahli usrah
kepada cinta Allah S.W.T yang Maha Agung. Kesannya dapat melahirkan individu
muslim yang memiliki 10 Muwasofat Tarbiyyah seperti yang digariskan oleh
As-Syahid Imam Hassan Al-Banna.
Selain itu, elemen berkenalan atau ta'aruf dalam usrah turut menyumbang kepada pembentukan individu muslim yang unggul. Hassan
al-Banna (2003:543) menyatakan elemen berkenalan dan saling mengenali sahabat-sahabat
usrah merupakan salah satu rukun usrah. (Dipetik daripada Mohd Ismail Mustari
& Salini Mohd Salleh, 2010:8). Selain memperoleh ilmu dan didikan,
ahli-ahli usrah juga dapat membina ukhwah yang erat. Dengan perkenalan dan memahami ahli-ahli usrah, proses penyampaian dan perkongsian dalam usrah lebih mudah dan cepat diterima. Hal ini ditunjukkan
menerusi keutuhan hubungan persaudaraan sesama muslim yang menjadi faktor penting
dalam menggambarkan kekuatan umat Islam umumnya.
Menelusuri
sejarah perkembangan usrah ini telah dimulakan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W
sendiri yang merupakan murabbi agung kiriman Allah S.W.T. Pada peringkat awal
dakwah Islam dilaksanakan Rasulullah S.A.W secara rahsia. Perjumpaan secara
berkala diadakan di rumah al-Arqam yang merupakan pusat perjumpaan untuk
mengajar dan memantapkan pemahaman para sahabat mengenai Islam. Pada ketika
ini, Rasulullah mengutamakan untuk mengajar tentang keimanan dan aqidah
menerusi ayat-ayat Al-Qur`an yang diajarkan terus oleh Baginda Nabi untuk
dipraktikan dalam kehidupan seharian sahabat-sahabat. Kaedah usrah yang
disulami interaksi intim dan kasih sayang antara Rasulullah dan para sahabat
menjadikan ukhwah antara mereka menjadi kukuh.
(Alwani Ghazali, 2012).
Oleh yang demikian, usrah boleh menjadi salah satu metode dakwah bagi menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan dakwah Islam. Selain daripada menyebarkan dakwah pada masa yang sama ahli usrah dapat memupuk kefahaman tentang Islam dengan lebih baik. Hal ini kerana, perkongsian ilmu dalam usrah dapat menyuburkan keimanan dan ketaqwaaan kepada Allah S.W.T dan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W.
3.0 Kesimpulan
Tarbiyah
adalah elemen yang perlu disemai dalam diri untuk menjadi mukmin yang berjaya. Pembentukan
diri muslim yang sejati mampu dibina menerusi kaedah usrah. Usrah menjadi satu
satu cara yang penting untuk memantapkan keperibadian individu muslim dan mengukuhkan
tali persaudaraan sesama umat Islam. Hanya dengan berbekalkan ilmu, manusia
mampu berfikir dan beramal dengannya yang mana pada akhirnya bermatlamat untuk
beroleh keredhaan Allah S.W.T. dan syurga Ilahi.
Bibliografi
Alwani Ghazali. (2012,
Oktober). Bulatan Gembira Rasulullah S.A.W. Dakwah
Itu Mudah Jom! (Edisi 02),62-64.
H. Ismet Junus.
(2013). Manusia Menurut Hidayah Al-Qur’an. Medan: Medan Area University Press
dan Pusat Islam UMA.
Mohd Ismail Mustari & Salini Mohd Salleh,
(2010). Persepsi Pelajar Terhadap Program
Usrah Di SMKA(P) Al-Mashoor. Diakses daripada http://eprints.utm.my/10478/1/.
NorSaadah Din,
Yusni Mohamad Yusak, dan Muhammad Fadzil Abd Manap. (2012). Usrah Wadah Pendidikan: Pengaplikasiannya
Melahirkan Insan Terpelajar dan Terdidik. Diakses daripada http://www.ipislam.edu.my/uploaded/PKPI2012.
Wan Ahmad
Sanadi. (2012, Oktober). Usrah Tiang Perubahan. Dakwah Itu Mudah Jom! (Edisi 02), 14-16.