Saturday, 28 September 2013

Langkah Hari Ini Penentu Kejayaan Masa Hadapan


Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah Yang Maha Esa. Peluang dan rezeki yang diberi untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana ibarat bulan jatuh ke riba.Alhamdulilah,alhamdulilah. Boleh penulis istilah sebagai anugerah dan rezeki dari Allah dan juga berkat dan restu ibu bapa, para pensyarah dan dorongan sahabat –sahabat tersayang. Selain usaha yang tidak kenal erti putus asa dan bertawakal kepadaNya.

Penulis bukanlah kategori pelajar yang pandai dan ataupun genius tetapi hanyalah pelajar yang biasa. Namun  berusaha untuk menjadi luar biasa.Sepanjang 3 tahun berada di bumi USM, penulis belajar pelbagai perkara yang banyak mengubah diri penulis dalam dan luar berbanding sebelum ini.

Pertama, penulis belajar untuk merancang perjalanan kehidupan  untuk tempoh 3 tahun. Apa yang  dilakukan adalah menyenaraikan matlamat yang ingin dicapai dalam tempoh tersebut. Malah penulis turut mencatat dan menulisnya di dalam buku@diari untuk peringatan diri. Apabila berada dalam keadaan stress ataupun sedih penulis akan belek kembali matlamat yang ingin dicapai.Hal ini membuatkan penulis kembali bersemangat.

Keduanya, perlu buat betul-betul. Allah juga suka kepada seseorang yang melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan tekun. Bukanlah hasil yang dinilai namun usaha yang dilakukan itu lebih utama. Namun sebagai manusia kita lebih cenderung melihat apa yang akan kita dapat dan bukannya menumpukan bagaimana untuk capai.


Sabda Rasulullah s.a.w “ Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud).

Ketiga, selepas berusaha dengan bersungguh-sungguh ,berdoa dan berserahlah kepada Allah s.w.t.Hanya kepada Nya layak kita meletakkan sepenuh tawakal dan pergantungan. Allah lebih mengetahui keperluan diri kita berbanding diri kita sendiri. Bermakna tidak semestinya yang kita mohon dari Allah akan termakbul.Boleh jadi Allah tangguhkan atau tidak berikan kepada diri kita kerana Allah tahu diri kita tidak layak memperolehnya. Jadi, serahkanlah kepada Allah Yang Maha Agung yang menciptakan kita untuk menentukan setiap perkara yang kita lakukan dalam kehidupan.


Ringkasnya ada 3 perkara yang dapat penulis rumuskan sebagai langkah permulaan dalam melakukan sesuatu perkara :
1)      Perancangan
2)      Usaha
3)      Doa & Tawakal



Alhamdulilah bergraduasi 22 September 2013 dirai bersama keluarga tersayang  =)

p/s: segala yang baik datang dari Allah dan segala kekurangan datangnya dari kelemahan diri penulis sendiri .Yang baik jadikan pengajaran dan sebaliknya jadikan sempadan.Wallahualam =)